Selama kita hidup pernah tak tinggal solat? Mesti pernahkan. Saya pun pernah tinggal solat juga. Sekarang rasa menyesal sebab tinggal solat waktu baligh dulu. Selagi ajal belum tiba baik kita qada' solat kita yang kita tinggal dulu. Puasa yang ditinggalkan kena ganti, hutang dengan manusia pun kita kena bayar inikan hutang kita dengan Allah. Takkan nak pejam mata je kot. Nanti disaat kita bertemu dengan Allah kita nak jawab apa kalau Dia tanya kenapa tinggal solat? Rasa MALU teramat sangat. Tengah2 cari cara2 nak qada' solat terjumpa forum ni. Apa yang kita mesti tahu pasal qada' solat?
1- Adakah perlu seorang muslim untuk qada' solat?
Menurut pendapat Mazhab 4
Wajib qada' solat yang ditinggalkan
Ini Menurut Pendapat empat mazhab, yaitu Hanafi, Maliki, Syafi’i dan Hanbali dan berdasarkan perintah dan tindakan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. - (Baginda Qada' Solat Subuh bersama para sahabat kerana tertidur dan Qada' Solat Asar dalam waktu Maghrib kerana peperangan)
Pandangan yang mengatakan tidak wajib qada’ adalah pendapat Imam Ibn Taymiyah, Ibn Hazmin, ia juga diamalkan oleh Umar bin Khattab, Ibn Umar, Umar abd Aziz, Ibn Sirin, dan lain-lain.
Hujah mereka: Islam telah mewajibkan solat dan tidak boleh menangguhkannya walaupun sakit, musafir dalam peperangan; ditegaskan oleh Imam Ibn Taymiyah tidak boleh mengqadha’ solat yang tertinggal, cukup dengan taubat dan solat sunat yang banyak untuk menggantikannya.
Orang-orang yang mewajibkan qada’ berhujjah bahwa jika qada’ ini diwajibkan atas orang yang lupa dan tertidur, yang mana kedua-duanya di maafkan, maka kewajibannya atas orang yang tidak dimaafkan dan orang yang derhaka (termasuk yang meninggalkannya kerana sengaja) jauh lebih layak. Disamping itu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam dan para shahabat pernah solat Ashar setelah masuk waktu Maghrib pada perang Khandaq. Sebagaimana yang diketahui, mereka tidak tertidur dan tidak lupa, meskipun sebahagian di antara mereka benar-benar lupa, tapi tidak mereka semua lupa. Yang ikut mendukung kewajiban qada’ ini ialah Abu Umar bin Abdul-Barr.
2- Soalan : Saya ada kemusykilan di dalam mengqada solat. Contohnya, jikalau kita terlepas solat subuh adakah kita perlu gantikannya segera pada waktu itu?. Atau selepas waktu solat zohor? Sebabnya saya ada mendengar dari kawan-kawan saya yang mengatakan gantikan solat wajib yang kita tinggalkan selepas solat Isyak.
Jawapan : SOLAT fardu yang tertinggal wajib diqada.
Ulama membahagikan qada solat kepada dua jenis.
Yang pertama qada solat bagi mereka yang tertinggal solat dengan keuzuran.
Yang kedua qada solat bagi mereka yang tertinggal tanpa keuzuran.
Para ulama fikah dalam mazhab al-Syafieyyah, al-Malikiyyah, al-Hanafiyyah dan al-Hanabilah sepakat mewajibkan bersegera dalam mengqada solat wajib yang tertinggal tanpa keuzuran. Ini kerana meninggalkan solat tanpa keuzuran syarak adalah berdosa. Maka bertaubat daripada dosa dituntut segera.
Dosa yang bertangguh tanpa bertaubat akan mengundang kemurkaan Allah s.w.t. Selagi tidak qada selagi itulah dosanya dikira. Syarat taubat daripada dosa ini ialah mengqadakan solat yang tertinggal.
Abu Hurairah r.a meriwayatkan satu peristiwa yang bermaksud: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w ketika pulang menunggang unta dari peperangan khaibar telah merasakan mengantuk sangat, sehingga baginda bersabda: “Wahai Bilal kita telah ditimpa malam”, maka bilal menunaikan solat beberapa rakaat yang terdaya oleh beliau, manakala Rasulu llah s.a.w dan para sahabat terus tidur.
Apabila hampir fajar Bilal menyandarkan badan pada tunggangannya sehingga Bilal tewas dalam mengantuk. Tiada seorang pun dari kalangan sahabat yang terjaga sehinggalah mereka terasa kepanasan matahari. Rasulullah s.a.w adalah yang terawal bangun lalu baginda terkejut. Lantaran Bilal berkata: “Demi ayahku dan ibuku apa yang berlaku pada diriku jualah yang menimpa dirimu wahai Rasulullah”. Kemudian kesemua sahabat bersiap untuk solat. Rasulullah s.a.w berwuduk dan menyuruh Bilal iqamat lalu baginda menunaikan solat fajar dengan mengimami para sahabat.
Apabila selesai menunaikan solat baginda bersabda: “Barang siapa yang melupai solat maka hendaklah dia menunaikannya apabila dia teringat. Sesungguhnya Allah berfirman yang bermaksud: “ Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, Sembahlah akan daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati daku.” (Tahaa:14 ), (riwayat Ibn Majah, jld:1, hlm: 227).
Persoalannya bolehkah qada solat subuh? Sedangkan selepas subuh adalah waktu haram mendirikan solat. Mungkin ini menjadi asas kepada pandangan segelintir masyarakat yang menyangka tidak boleh melakukan sebarang solat selepas waktu subuh walaupun qada solat.
Dalam beberapa hadis Rasulullah s.a.w daripada ‘Uqbah bin ‘Amir memberitahu yang bermaksud: Baginda Rasulullah telah menegah kami dari menunaikan solat dan mengkebumikan jenazah pada tiga waktu berikut: ketika terbit matahari sehingga naik tinggi, ketika matahari berada pada ufuk dan ketika terbenamnya matahari. (riwayat Muslim, jld:1, hlm:568, Abu Daud, jld:2, hlm:185,).
Namun, solat yang diharamkan selepas solat fajar ialah solat sunat, adapun solat fardu tidak ditegah dari melakukannya, ini kerana selagi mana matahari tidak terbit selagi itu waktu itu waktu solat subuh. (Nuh ‘Ali Salman, Qadha al-Ibadat, hlm: 260-261).
Para Fuqaha dari kalangan mazhab al-Syafieyyah, al-Malikiyyah dan al-Hanabilah mengharuskan qada solat pada waktu-waktu yang ditegah dalam hadis di atas dan waktu-waktu lain.
Dr. Wahbah al-Zuhailiy menukilkan pandangan para fuqaha dengan menyimpulkan dengan pandangan: “Harus mengqada solat fardu yang tertinggal pada bila-bila masa, sama ada waktu itu ditegah daripada melakukan ibadat ataupun pada waktu biasa, maksudnya qada solat boleh dilakukan bila-bila sahaja.” (Dr. Wahbah al-Zuhailiy, al-Fiqh al-Islamiy, jld:2, hlm: 144).
Justeru, dengan nas-nas daripada al-Quran serta hadis dan pandangan ulama yang muktabar jelas kepada kita bahawa qada ini boleh dilakukan pada bila-bila sahaja walaupun selepas subuh dan selepas asar.
Ini kerana wajib itu kekal wajib. Wajib dalam waktunya apabila tidak ditunaikan pada waktunya wajib itu tidak berubah tuntutannya ia tetap kekal wajib. Malahan orang yang tertinggal solat dengan alasan tertidur, terlupa wajib bersegera mengqadanya. Selagi mana tidak diqada selagi itulah hutang solatnya tertanggung atas bahunya.
Solat tidak boleh selesai dengan taubat sahaja. Taubat atas perbuatan alpa atau buat-buat alpa dan terlupa. Taubat dalam erti kata menyesal atas sikap acuh tak acuh, dan berjanji dengan Allah dan diri bahawa tidak akan mengulangi tabiat suka leka dan tidak bersungguh-sungguh dalam memelihara solat.
3- Bagaimana dengan niat solat qada'?
ada'an tukar qodha'an. ertinya: tunai tukar ganti.
Contoh :
usolli fardhas subhi rak'ataini qadho'an lilllahi ta'ala
ertinya: sahaja aku solat fardhu subuh 2 rakaat secara qadha kerana Allah Taala.
4- Soalan : Adakah wajib Qadha solat2 yang tidak sempurna rukun?
Jawapan : Semua solat Fardhu yang di tinggalkan sama ada sedar atau tidak, sengaja atau tidak sengaja wajib di qada'. Semua solat yang tidak sempurna, ertinya kerana tertinggal rukun atau disebabkan kerosakan pada bacaan rukun "Qawliyah", atau kesilapan pada menepati rukun Fi'liyyah, maka wajib di Qada'.
5. Soalan : Bagaimana jika tidak ingat berapa banyak waktu tertinggal?
Jawapan : Jika seseorang tidak ingat berapa banyak waktu yang dia tertinggal atau berapa banyak solat yang telah rosak, maka kiraan adalah dari mula dia insaf akan kesilapannya dan kira ke belakang sehingga mulai dari dia sampai umur baligh!
Umpamanya seseorang insaf akan kerosakan pada solatnya pada umurnya 17 tahun sedangkan dia baligh pada umurnya 13 tahun. Maka 4 tahun yang dikira rosak solatnya, wajib di ganti.
Cara gantikan solat yang ditinggalkan / rosak :
Boleh digantikan beransur2 setiap hari sehingga selesai semuanya. Jika seseorang menggantikannya pada setiap waktu, Insya Allah akan selesai bila sampai masanya. Yang penting dia tekadkan hati untuk menggantikan semua solat yang tertinggal / yang rosak.
Sumber : http://halaqah.net/
http://nuraiman.wordpress.com/
No comments:
Post a Comment
Apa yang ada dalam fikiran anda?
Sila luahkan. hehe