Saturday, July 30, 2011

Puasa | Kenapa bulan Ramadhan tidak bulan September? (Allah Itu Maha Adil)

"Apa istimewanya berpuasa pada bulan Ramadhan dan bukannya September?" saya bertanya. Para peserta modul Fiqh of Travellers terpinga-pinga.

       Bukan tidak tahu jawapan, tetaipi tidak faham apa hubung kaitnya antara Ramadhan dan September. "Kedua-duanya adalah bulan kesembilan di dalam kalendar Gregorian dan kalendar Hijriah Islam," aju seorang peserta.

       "Benar sekali. Tetapi sentiasakah Ramadhan itu jatuh bersamaan dengan bulan September?" saya melanjutkan soal jawab.

       "Tentu sahaja tidak. Malah Ramadhan akan tiba kira-kira 10 hari lebih awal berbanding dengan tahun sebelumnya. Ramadhan pernah jatuh pada bulan Disember, ia juga boleh tiba pada bulan Jun.

       Hikmahnya besar.

       Hikmah yang lebih jelas bagi manusia yang mengambil peluang kembara ke utara dan selatan Bumi.

       Semasa Ramadhan tiba pada bulan Disember, ia bermaksud umat Islam di negara-negara utara Bumi menyambut bulan yang penuh makna ini pada musin sejuk. Selain cuaca yang sejuk, mengurangkan rasa dahaga yang menguji, siang pada musim sejuk adalah pendek berbanding malam. Subuh lewat dan Maghrib pula awal.

       "Seawal bagaimana ustaz?" tanya seorang peserta.

       "Subuh boleh masuk selewat 7.30 pagi dan Maghrib pula masuk pada jam 4.00 petang!" saya menjawab.

       "Wah, hebatnya!" pelajar-pelajar itu kelihatan teruja.

       "Sebab itu ramai orang kaya buat 'umrah' di London, semasa Ramadhan jatuh pada musim sejuk!" saya berseloroh.

       Mereka ketawa, faham dengan bahasa sinis itu.

       "Tetapi lain pula ceritanya pada musim panas. Apabila Ramadhan tiba pada bulan Julai, itu sudah terbalik. Siang menjadi panjang, malam menjadi pendek." Saya menyambung penjelasan.

       "Misalnya?" tanya anak muda yang bakal terbang ke Amerika Syarikat itu.

       "Di Amerika Syarikat saya tidak pasti. Tetapi di tempat saya bertugas dahulu di Ireland Utara, Subuh boleh tiba seawal jam dua suku pagi dan maghrib selewat jam sembilan empat puluh lima!" jawab saya.

       Terkejut mereka.

       "Mujurlah saya sudah balik ke Malaysia. Kalau tidak, tinggal sekepinglah jawabnya!" saya mengusik.

       Dalam ketawa, mereka turut dilanda resah. Saya tinggal di Malaysia, mereka bakal terbang ke destinasi pengajian masing-masing. Bakal berpuasa di perantauan. Menyambut Ramadhan pada musim panas. Musim yang siangnya panjang berganda dan malam pula hanya segelintir hari.

       "Tetapi untunglah mereka yang bakal ke Australia dan New Zealand. Terbalik daripada UK, Amerika, Russia dan Jepun, bulan Jun, Julai dan Ogos di sana itu adalah musim sejuk," saya menyambung kuliah.

       Benar sekali.

       Jika selama ini, umat Islam di Hemisfera Selatan Bumi seperti Australia, New Zealand, Afrika Selatan dan Argentina diuji dengan Ramadhan yang jatuh pada November, Disember dan Januari yang merupakan musim panas, umat Islam di utara Bumi sedang meraikan puasa pada musim sejuk. Kini, apabila umat Islam di utara pula semakin panjang tempoh puasanya kerana Ramadhan jatuh pada musim panas, umat Islam di Selatan pula mengambil giliran menikmati puasa yang semakin pendek dan mudah.

      Duduklah dimana sahaja, dengan Islam kita akan menikmati keadilan Allah.

      Lagi bagus, kalau duduk di Malaysia, sejak lahir sampai mati, sentiasa sederhana dan sama sahaja!

      Berbeza sekali dengan agama Kristian yang menggunakan kalendar berasaskan Matahari. Tarikh 25 Disember sentiasa musim sejuk di Utara Bumi, dan sentiasa musim panas di selatan sana. Imej Krismas di Australia dan New Zealand tidak pernah sama dengan imej Krismas menurut sentuhan United Kingdom dan Amerika Syarikat kerana Disember sentiasa musim sejuk di atas sana, sentiasa musim panas di selatan pula.

      ISLAM AGAMA FITRAH
      Bukankah ia sesuatu yang indah?


TRANSFORMASI RAMADHAN - Hasrizal Abdul Jalil (www.saifulislam.com)

No comments:

Post a Comment

Apa yang ada dalam fikiran anda?
Sila luahkan. hehe