Tuesday, December 16, 2014

Permuafakatan sesama adik beradik.

Permuafakatan tu tersangatlah penting. Siapa lagi orang yang dekat dengan kita yang boleh kita berkongsi masalah bersama, meminta pendapat dan boleh diharap untuk di minta tolong selain adik beradik. Teramatlah sedih bila adik beradik itu sendiri dibuat musuh. Malah berlumba-lumba untuk menunjukkan siapa hebat dan kuat tanpa mengira siapa yang patut dihormati terutama ahli keluarga yang lebih tua. Jangan beralasankan harta sebagai punca keretakan hubungan adik beradik. Apatah pula melihat abang2 atau kakak2 yang tidak berkemampuan dari segi kewangan menjadikan alasan untuk memijak kepala mereka dan tidak menghormati mereka kerana tahap ekonomi kita lebih tinggi dari mereka.

Sebenarnya mempunyai adik beradik adalah suatu nikmat yang tidak ternilai.
Samada mempunyai adik beradik yang sikit mahupun ramai, itupun dikira nikmat.
Apabila dikumpul sumber manusia dari darah yang sama ini boleh menghasilkan satu sumber tenaga manusia yang kuat. Percaya atau tidak dengan adanya permuafakatan adik beradik ni dapat menghasilkan suatu yang asalnya dilihat mustahil menjadi tidak mustahil. Boleh jadi dengan permuafakatan ini dapat melahirkan rangkaian bisness yang terulung malah dengan secara tidak langsung dapat meningkatkan ekonomi masing2. Boleh juga menggunakan adik beradik yang ramai untuk aktiviti merewang serta untuk kenduri kendara. Dengan itu, ia dapat melahirkan suasana harmoni diantara adik beradik dan melatih sikap empati serta kasih mengasihi antara satu sama lain.

Tetapi untuk menghasilkan permuafakatan ini teramatlah sukar jika di kalangan adik beradik itu sendiri ada yang jenis batu api dan hipokrit. Sama ada jenis lontar batu kemudian sembunyi tangan atau jenis talam berpuluh-puluh muka. Ada yang jenis pusing keling (cakap berbelit-belit tapi boleh diterima akal) bak kata orang jawa. Bila wujudnya orang sebegini, permuafakatan dalam hubungan adik beradik teramat sukar untuk diwujudkan.

Untuk menghasilkan permuafakatan, tiada skema jawapan disediakan. Ia bergantung kepada keadaan dan persekitaran yang adik beradik tersebut berada. Adakalanya masa menyebabkan seseorang itu berubah sama ada berubah kepada yang lebih baik atau sebaliknya. Tetapi elemen yang paling penting dan sepatutnya ada adalah elemen kesefahaman dan bertolak ansur. Walaupun namanya adik beradik yang lahir dari perut ibu yang sama pun belum tentu sikap setiap individu itu sama. Masing2 mempunyai sikap yang berbeza. Jadi kesefahaman dan bertolak ansur perlu ada diantara satu sama lain. Kadang kala perlu ada sikap mengalah. Ada masa abang mengalah kat adik dan ada masanya juga adik mengalah pada abang. Peranan anak sulung juga penting untuk mengatur adik2. Malah dalam masa yang sama adik2 juga perlu patuh pada kata2 anak sulung. Tetapi kewajipan tegur menegur secara berhemah juga perlu jika ada yang adik berbuat salah malah abang dan kakak yang berbuat salah juga perlu ditegur tetapi kenalah beradab.

Masa kecil2 senang nak memupuk nilai kasih sayang sesama adik beradik. Si abang mengatur, adik pun ikut. Mungkin pengaruh ibu bapa yang sering memesan adik2 supaya ikut kata si abang. Hubungan adik beradik ketika ini agak kuat atas dorongan ibu bapa. Bila sudah remaja hingga dewasa, hubungan itu sedikit demi sedikit longgar. Masing2 punya kehidupan sendiri. Semakin kurang masa bersama. Apatah lagi bila sudah berkahwin. Masing2 dengan keluarga masing2. Ketika ini juga persekitaran berubah dengan kehadiran orang baru. Bila sudah punya anak cucu dan mungkin ketika ini entah ada istilah adik beradik dalam kamus hidupnya. Adakah kitaran ini bakal berulang dan terus berulang hingga ke generasi akan datang? Apa yang kita lalui kini bakal diikuti anak2 dan cucu2 kita nanti. Adakah ini contoh terbaik buat mereka?

Inilah kehidupan.
Ada kala manis, masam, masin.
Itu adalah atas pilihan kita sama ada mengejas mengikut sesedap rasa.
Mengalahkan takdir semata-mata pun tak elok.
Melainkan sudah berusaha sehabis baik untuk menjaga hubungan sesama adik beradik tetapi masih gagal juga barulah boleh berserah bulat2 kepada takdir.
Mungkin itu adalah ujian kepada kita.

[sumber]

2 comments:

  1. Replies
    1. Hehe... Minggu ni sibuk sikit tak sempat nak update blog... :D

      Delete

Apa yang ada dalam fikiran anda?
Sila luahkan. hehe